Azimmunization
2 min readJan 19, 2020

Membakulsampahkan Hukum Sains Merugikan Kita

Amalan ini sudah pasti tidak asing bagi seorang Muslim. Namun adakah kita memahami falsafah puasa yang sebenarnya? Maqasid berpuasa itu sendiri adalah untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik. Beruntunglah mereka yang menjalankan syariat puasa di bulan Ramadhan serta puasa sunnah lainnya, seperti puasa bulan Syawal, puasa pada hari isnin khamis, puasa hari putih dan puasa nabi Daud AS.

Umum mengetahui agama tidak dapat dipisahkan dengan sains. Ini bermaksud sains bukanlah musuh agama. Namun, disiplin menghasilkan pengetahuan dari sains dan dari agama punya perbezaan. Kadangkala, sains berkemungkinan tidak selari dengan agama, bukan bermakna keduanya saling bermusuhan tetapi kerana akal manusia yang sangat terbatas.

Agama dalam perintah Tuhan kebenarannya mutlak, namun dalam erti bagaimana manusia menafsirkannya mungkin berbeza. Begitu juga sains sebagai produk rasional manusia, boleh jadi ada yang tidak benar. Bezanya, sains akan terus berkembang dengan kajian dan penemuan terbaharu. Tidak mustahil sains sekarang menjadi antitesis atau bahkan sains terdahulu menjadi mansukh.

Sama halnya dengan hubungan puasa dan kesihatan, apabila dikaji dari sudut sains, boleh terbukti dan boleh tidak. Penemuan awal boleh jadi ditentang oleh penemuan seterusnya, dan penemuan terbaharu boleh akan ditentang penemuan yang lebih baharu. Ini mengingatkan saya kepada kisah Galileo dan Nicolaus yang dihukum kerana berbeza pendapat dengan autoriti gereja pada zamannya. Itulah lumrah dunia sains.

Setiap manusia yang meyakini kebenaran suatu doktrin, pastinya akan mempunyai keinginan untuk membuktikan atau menjelaskan fenomena tersebut. Penemuan terbaharu telah membuktikan puasa itu mengekang nafsu sedangkan ianya telah sekian lama dijelaskan dalam al-Quran. Puasa bererti kita menahan diri dari keserakahan terhadap makanan dan minuman, sehingga kita makan dan minum secara berkadaran.

Cuma persoalannya, ada orang yang rajin berpuasa, namun berjudi dan gemar berbohong. Ada yang jujur, amanah dan tidak pernah berjudi, namun dia tidak berpuasa. Itu namanya melaksanakan sebahagian ajaran Islam dan tidak melaksanakan ajaran selebihnya. Kerana itu adanya seruan ayat 208 al-Baqarah, "masuklah ke dalam agama secara kaffah (menyeluruh)".

Namun siapakah di antara kita yang agamanya sudah kaffah?

Azimmunization
Azimmunization

Written by Azimmunization

Moga Tuhan lindung orang yang kita sayang; sampai bila-bila.

No responses yet